Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ....

Selamat datang ke Portal Rasmi Politeknik Besut Terengganu. Tahniah dan terima kasih kepada Unit Sistem Teknologi Maklumat, USTM Politeknik Besut Terengganu khasnya kepada kumpulan webmaster kerana telah berjaya menghasilkan portal rasmi ini. Portal ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan politeknik ini di samping menyebarkan maklumat berkaitan program pengajian yang ditawarkan serta fasiliti dan kemudahan yang ada.

Politeknik Besut Terengganu (PBT) adalah politeknik ke-34 ditubuhkan yang terletak di Mas Sekupang, Mukim Kampung Raja, Besut, Terengganu. Penubuhan politeknik ini bertujuan merealisasikan hasrat Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan memiliki sikap positif untuk terus maju dalam ekonomi global. Ini bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global. Bermula Sesi Jun 2017, Politeknik Besut mula menawarkan Kursus Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dan Kursus Pra-Diploma (Sains).

Visi kami adalah menjadi institusi TVET yang berkualiti dalam melahirkan modal insan yang holistik dan menjadi pilihan utama industri. Misi kami menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif bagi melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan industri.

Bagi mencapai Visi dan Misi tersebut, PBT sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini melalui jalinan kerjasama yang erat dengan pihak industri juga seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Kami juga aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan sahsiah dan jati diri pelajar melalui Jabatan Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum serta membudayakan keusahawanan dalam semua aktiviti. Dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi serta diadun dengan sikap yang betul, kami berharap graduan kami dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan bukan sahaja bagi diri mereka tetapi juga untuk rakan-rakan.

Saya amat mengalu-alukan sebarang maklumbalas, pandangan serta cadangan penambahbaikan untuk portal ini dan Politeknik Besut Terengganu. Selamat melayari portal dan media sosial rasmi ini. Semoga maklumat yang diperolehi dapat membantu semua pihak.